25 August 2015

ISI 4

Pihak Portugis berjaya mengekalkan kekuasaan mereka di Melaka daripada mana-mana musuh selama 130 tahun dan kota itu terus menjadi pusat perdagangan di timur, terutamanya dalam dagangan rempah ratus. Manakala Sultan Mahmud pula berundur dari Teloh Naning ke Ulu Muar, dan kemudian menetap di Pagoh dan Bentayan. Sultan Mahmud dan keturunananya membina empayar Johor-Riau yang merangkumi Johor, kepulauan Riau, Pahang dan lain-lain bahagian kerajaan Melaka yang tidak dijajah Portugis. Walaupun Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud dan puteranya Sultan Ahmad tidak putus-putus menghantar tenteranya untuk menyerang Portugis di Melaka dari tahun 1511 sehingga tahun 1526. Sultan Mahmud mangkat di Kampar, Sumatera pada tahun 1528 dan digelar Marhum Kampar. Tidak lama kemudian, laksamananya, Khoja Hassan juga meninggal dunia. Hang Nadim telah dilantik sebagai laksamana yang baru. Hang Nadim pernah membantu Sultan Mahmud di dalam dua cubaan untuk mendapatkan semula takhta baginda pada tahun 1519 dan 1523. Hang Nadim juga pernah berusaha mengepung Melaka dengan tujuan menghalang bekalan makanan daripada masuk ke kota Melaka. Dia telah membuktikan kepimpinan dan keberaniannya dengan mengalahkan Portugis ketika mereka menyerang Bintam dan Kopak. Kegagahannya amat dikagumi oleh orang Melayu dan serangan bertubi-tubi ke atas Portugis telah melemahkan semangat perjuangan mereka serta merugikan perdagangan mereka di Melaka.


Namun, Portugis mempunyai musuh yang lebih kuat iaitu Acheh di utara Sumatera, yang terletak di seberang Selat Melaka. Sultan-sultannya merupakan pejuang Islam dan mereka juga menguasai perdagangan lada hitam di Sumatera. Sultan Acheh yang berkeinginan menawan Melaka, telah beberapa kali melancarkan serangan, namun tidak berjaya. Pihak Portugis kemudiannya membuka beberapa buah pengkalan di serata kepulauan Melayu dan di China. Portugis mampu mengekalkan kekuasaan mereka selagi mereka menguasai lautan dan selagi kehebatan kapal-kapal mereka tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kapal dari Asia. Namun, lama kelamaan pihak Portugis tidak berdaya menyaingi kemampuan teknologi pembinaan kapal di lain-lain negara Eropah. Pihak Portugis tidak dapat menandingi kehebatan kapal-kapal Belanda dan Inggeris yang mula datang ke timur.

Portugis merupakan orang Eropah yang pertama datang ke timur dan membawa bersama mereka budaya dan agama yang baru. Mubaligh mereka telah menyebarkan ajaran Kritian di India, Melaka, kepulauan Maluku, Makau dan Jepun. Di antara mubaligh yang terkenal ialah St. Francis Xavier. Dia tiba di Melaka dari Goa pada tahun 1545 dan mengembara di serata rantau Asia seperti Jepun, India dan Amboyna untuk menyebarkan ajaran Kristian. Dia merupakan orang pertama membina sekolah yang dinamakan Kolej St. Paul di Melaka pada tahun 1548 untuk pelajar dari pelbagai bangsa. St Francis Xavier mati di pulau Sanchan di perairan China pada bulan Disember tahun 1552. Jenazahnya di bawa ke Melaka dan seterusnya ke Goa, di mana ia masih disimpan sehingga hari ini.


No comments:

Post a Comment