Pada 24 Ogos tahun 1511, Alburqueque telah mengarahkan askar-askarnya merampas semua harta benda dan barang-barang bernilai milik Sultan dan rakyat Melaka. Di antara barang-barang yang dirampas adalah pasu, jongkong emas, barang kemas, batu permata, kain sutera, wangian dan dua ribu meriam tembaga. Kubu dan istana Kesultanan Melayu Melaka akhirnya musnah dan kesemua barangan bernilai habis dirampas. Keagungan dan keunggulan Kerajaan Melayu Melaka hilang akibat serangan Portugis.
Bagi mempertahankan dan memperkuatkan lagi pengkalan Portugis, Alburquerque telah membina sebuah kubu yang terletak di antara kawasan tanah tinggi dan Sungai Melaka. Kubu tersebut dikenali sebagai A Farmosa. Beratus-ratus pekerja, hamba dan tawanan perang telah dikerah untuk membina kubu tersebut. Batu-batu daripada masjid-masjid yang telah musnah dan makam-makam diraja telah digunakan untuk membina tembok tebal kubu ini. Di dalam kubu tersebut dibangunkan pula Istana Gabenor dan istana Paderi Besar, kamar Dewan Kerajaan, beberapa gereja, berek-berek, dua buah hospital, biara dan sebuah penjara.
Alburquerque juga telah berjaya menghapuskan tentangan dari Utimutiraja, Sultan Ahmad dan orang-orang Jawa yang ingin merampas Melaka kembali dari tangan Portugis. Beliau telah melantik Rui de Brito sebagai Gabenor dan Nina Chattu sebagai Perdana Menteri. Beliau kemudiannya memastikan keamanan serta aktiviti perdagangan dipulihkan dengan menggalakkan pedagang-pedagang membuka kembali perniagaan mereka. Selain itu, beliau juga telah menghantar beberapa misi persahabatan ke Siam, Jawa, China dan Kepulauan Maluku. Magellan, yang merupakan orang pertama belayar ke seluruh dunia dari tahun 1519 hingga ke tahun 1522, adalah salah seorang pegawai Albuquerque ketika penawanan Melaka.
Bagi memastikan perdagangan berjalan lancar, Albuquerque telah memperkenalkan mata wang yang baru di Melaka. Walaupun aktiviti perdagangan secara amnya dijalankan secara barter, terdapat juga beberapa urus niaga yang dijalankan dengan menggunakan wang timah Melayu. Wang baru yang diperkenalkan oleh Portugis adalah dalam bentuk timah atau tembaga, perak dan emas.
Apabila beliau telah berpuas hati dengan keadaan di Melaka, Albuquerque pun kembali ke markasnya di Goa. Beliau meninggalkan Melaka pada Januari 1512, membawa bersamanya kesemua khazanah Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja dan Permaisuri Portugal. Walau bagaimanapun, kapalnya, Flora de la Mar, telah dilanda badai di perairan barat Sumatra. Hampir kesemua barang-barang yang dibawanya hilang, namun beliau bernasib baik kerana terselamat dari bencana tersebut.
No comments:
Post a Comment