Tanpa kita sedari atau tidak, disebalik peristiwa sejarah yang berlaku di negara terdapat pengajaran dan kesan yang sangat berguna untuk kita jadikan pengajaran dan sempadan juga baik untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian kita. Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun telah menyimpan banyak peristiwa sejarah yang perlu dihayati dan dipelajari oleh generasi masa kini. Sesungguhnya nilai-nilai murni memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan pada hari ini agar ia mampu memberikan keamanan dan kesejahteraan negara, agama dan bangsa.
Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis bukan disebabkan faktor luaran semata-mata, malahan faktor dalaman juga perlu diambil kira. Masalah dalaman yang paling ketara selain ketidakjujuran dan penderhakaan rakyat Melaka sendiri, ialah kelunturan semangat kerjasama di kalangan rakyat Melaka yang selama ini begitu patuh dalam kerja berpasukan, bersatu padu dan tolong menolong. Pada masa ini dapat dilihat hubungan antara rakyat dan pemerintah telah terputus sama sekali, rakyat yang tidak setia kepada negara, pembesar mengamalkan rasuah dan sikap pemerintah yang memerintah dengan zalim. Pada waktu ini juga dapat dilihat tiga unsur yang mendasari kerjasama masyarakat Melayu iaitu raja, pembesar dan rakyat tidak lagi diamalkan. Masing-masing membawa haluan mereka sendiri. Pengajaran yang boleh dikutip hasil dari serangan Portugis ke atas Melaka ini ialah tanpa kerjasama yang erat, negara boleh musnah dalam sekelip mata. Ini kerana kekuatan negara bangsa adalah hasil perpaduan antara pemerintah, pembesar dan rakyat.
No comments:
Post a Comment