Gambar ringkas Penjajahan Portugis ke Melaka
Setelah menakluki Goa, Portugis mendapati bukan India tetapi sebaliknya Asia Tenggara yang boleh memberi kekayaan kepada mereka. Mereka telah mengumpul maklumat daripada setiap pelaut yang datang ke Goa dan akhirnya membuat kesimpulan bahawa sesiapa yang memerintah Melaka akan mempunyai kuasa untuk menggegarkan Venice.
Bagi mengukur kekuatan Melaka, Portugis telah menghantar sepasukan peninjau dengan lima buah kapal yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira. Angkatan itu tiba di Melaka pada 11 Ogos 1509 dan de Sequeira menghantar salah seorang nakhodanya mendarat dengan membawa warkah dan hadiah dari Raja Portugis kepada Sultan. Penduduk Melaka tidak pernah melihat orang Eropah sebelum ini dan apabila kelasi-kelasi Portugis itu medarat, orang-orang Melayu mula mengerumuni mereka. Mereka amat terpegun dengan paras rupa serta warna kulit orang-orang Portugis ini. Mereka mula menyentuh janggut perang orang Portugis, mengusap kepala dan memegang tangan mereka dan menggelar mereka sebagai Benggali Putih.
Setibanya angkatan Portugis, Bendahara Melaka telah menerima kiriman warkah dan hadiah yang dibawa untuk dipersembahkan kepada Sultan. Pada mulanya, tetamu ini dilayan dengan baik tetapi keadaan berubah apabila orang-orang India dan Arab Muslim mendesak Sultan dan Bendahara agar tidak mempercayai pihak Portugis. Mereka mendakwa bahawa pihak Portugis tidak akan berpuas hati dengan hanya sekadar berkongsi keuntungan perniagaan tetapi akan merampas keseluruhannya untuk diri mereka sendiri. Justeru, satu perancangan telah dibuat untuk menangkap orang-orang Portugis dan menyerang angkatan laut mereka. Bagaimanapun, perancangan tersebut telah terbongkar apabila seorang gadis Jawa yang sedang dilamun cinta dengan salah seorang kelasi Portugis telah memaklumkan mereka. Setelah mendapati rancangan mereka telah terbongkar, pihak Melayu bertindak menangkap Ruy de Aranjo, salah seorang nakhoda Portugis bersama dua puluh kelasinya yang tidak bersenjata yang sedang membeli barang keperluan. De Sequeira gagal membebaskan tahanan tersebut dan terpaksa berlayar meninggalkan mereka.
No comments:
Post a Comment